Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu

By kin - October 09, 2022



Segala puji bagi Allah yang memiliki segala perbendaharaan langit dan bumi, serta bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.




Setiap kali aku datang ke Kundasang, aku selalu berkata-kata dengan diriku dan kepada Encik Syawal bahawanya perjalananku menerokai Sabah takkan lengkap selagi aku tak naik Gunung Kinabalu. Sejujurnya, aku dah lama pendam hasrat untuk mendaki Gunung yang tertinggi di Malaysia ni iaitu Gunung Kinabalu, Sabah semenjak aku berumur 18 tahun lagi. Tapi mungkin pada masa itu aku tak mencuba bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat terendam aku ni. Kemuncak hasrat ni muncul kembali apabila Hazwani; kawan travelku , mengajak aku untuk mendaki Gunung Kinabalu ni bersama-sama dia. Bukan dia sahaja, malahan ada lagi beberapa kawanku yang aku tolak dengan alasan aku gayat. Seram sejuk je bila nak ingat tahap gayat aku tu. Tapi entah macam mana, aku penuhi juga hasrat rendamanku ini pada tahun ini tetapi bukan dengan Hazwani tetapi dengan Irra; kawan satu universiti di Johor. (baca: kau buat kerja gila Kin oii)

 

Gunung Kinabalu, Pengalaman Mendaki

 

Aku pun tidak tahu kenapala aku bersetuju untuk mendaki pada bulan Jun, iaitu pada cuti sekolah (Irra adalah cikgu sekolah, jadi aku ikut perancangan untuk cuti sekolah sahaja). Ini kerana pada bulan April sudah memasuk bulan Ramadhan dan bulan Mei pula untuk beraya sakan. (baca: aduh..macam mana training ni??) Padahal kan, boleh sahaja aku pilih bulan September untuk mendaki. Masa ni aku rasa aku sangat tak bijak untuk planning. Goshhh!

Nak dijadikan cerita pula, siapa sangka dan siapa menduga, aku dimasukkan ke dalam wad di Hospital Kuala Lumpur akibat jangkitan Covid-19 tahap 3. Ehm, pada mulanya aku tak sangka pula terkena jangkitan di saat-saat aku senang elok bersenang lenang berada di rumah. Orang kata, menda nak berlaku. Masa ini, aku dah lengkap bersedia untuk mendaki Kinabalu, terasa ingin membatalkan tapi habislah duit aku burned. Sedih time ni. Sebab aku kena jangkitan Covid-19 ni agak teruk juga kerana melibatkan otot-otot aku. Terus jadi jelly fish. Namun begitu, aku tetap teruskan misi mendaki Gunung Kinabalu!

 

Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

Misi Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

 

Rezeki aku agaknya, pada hari untuk mendaki Gunung Kinabalu, open view bermula dari Timpohan Gate sampailah ke Panabalan, hujan mencurah-curah turun dengan lebat tanpa diskaun. Walaupun ikutkan cuaca di sana pada bulan Jun bukanlah musim hujan, tapi apakan daya, kita hanya mampu merancang. Kuasa alam hanya Allah yang tentukan. 

 

Sebenarnya hujan dah turun mencurah-curah semalaman sampai malam tu aku risau juga kalau esoknya masih hujan, Nah! Betul tekaan aku, masih hujan lebat. Perjalanan bermula pada jam 9.30 pagi selepas segalanya telah dipermudahkan dan sepanjang perjalanan ada kalanya hujan berhenti seketika. Namun sejuk menggamit sampai ke tulang terutamanya ketika hampir ke puncak dengan iringan angin sejuk tu tak boleh nak cakap apa la. Walaupun lemak di badan boleh menjadi penebat haba, tetapi kali ni macam tak bagi kerjasama langsung. Hahaha.

Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

 

Masa di KM3, aku dah mula rasa sakit itu ini. Aihhh, seriusla kaki dah mula berat nak melangkah dan nafas pun macam makin laju. Ramai dah mula meninggalkan aku keseorangan namun aku cuba mendaki tangga demi tangga dengan perlahan - lahan. Masa ni mula la aku bercakap dalam hati, dah kenapa kau buat kerja gila ni. Aduhhh.

Berhenti seketika untuk makan tengah hari dengan bekal yang aku beli, serius memang tidak menyelerakan dengan tekak aku. Boleh terlupa pula yang aku ni jenis kalau penat sangat aku memang takde selera nak makan. Masa ni mulalah aku terfikir, kenapa la aku tak bawa sesikat pisang ke atau telur rebus? Orang kata sekadar alas perut dan beri tenaga cepat. Sebab, aku dapat mihun/mee dan orang sebelah kiri aku makan pisang dan sebelah kanan aku pula makan telur rebus. 


 

Kemuncak aku sakit otot dan krem kaw-kaw di KM4 (Layang-layang Hut) yang mana masa ni hujan turun dengan lebat. Masa ni barulah kasut aku yang aku jaga betul-betul sudah kebasahan. Aduh, masa nak naik dengan ditemani air terjun mini mencurah tak bagi peluang langsung untuk aku memijak selain air. Masa inilah aku berdiri tegak dan lama betul aku berdiri. Sudahlah tempatnya agak sempit, boleh pula aku krem kedua belah kaki dari pangkal peha sampailah ke hujung jari kaki. Rasa nak menangis bersama -sama air hujan yang turun mencurah-curah ni.

Mujur rezeki aku baik, aku terserempak pula dengan geng satu (1) group pendakian dan aku mendapat bantuan sewajarnya (kebetulan ada ahli mereka adalah jururawat) Terima kasih Balqis. Mereka menasihati aku untuk betul-betul rehat dan buat regangan sebabnya jika aku degil nak teruskan juga, takut berkemungkinan besar aku akan terus krem dan langsung tak boleh bergerak. (masa ni aku dah fikir berapa ribu la malim gunung ni nak dukung/angkat aku sekiranya tetiba aku dah tak boleh teruskan pendakian). Jadinya, aku mengambil keputusan untuk berehat agak lama sedikit dan menaiki ke atas sedikit untuk mencari ruang agar aku dapat berehat seketika.

Setelah yakin sedikit, barulah aku memulakan pendakian aku seumpama siput mengensot naik ke atas perlahan-lahan. Masa ni aku memang dah mental down, terasa nak patah balik tapi takut hari makin gelap dengan cuaca yang hujan tak berhenti-henti ni. Masa ni memang aku hanya ada aku sahaja, naik sorang-sorang dan rasa nak nangis juga la. Sehinggalah aku sampai di KM5, yang mana masa tu lah aku nampak langit. Leganya terasa macam hilang beban aku sedikit sebab nampak langit. Hahaha...Sebab sebelum ni kanopi pokok-pokok dah menutupi dengan cuaca yang nampak agak gelap sedikit. 

 

Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

 

Di KM5 barulah aku nampak ramai pendaki yang selama ini aku sorang-sorang mendaki macam orang sakit mental je rasanya. Barulah pernafasan aku terasa lega dan segar sedikit. Masa ni ambil peluang untuk bergambar juga (baca: aku selit-selit je) dengan geng yang tolong masa kaki aku krem sebelum ni di atas batu dengan kedengaran deruan air terjun dari kejauhan. Aku nampak sekejap je sebab awan/kabus tebal cepat sangat menutup penglihatan. 


 

Pada masa ini juga baru aku perasan ada seorang malim gunung ikut aku dari belakang. Aish, aku dah la rasa down gila sebab fikir sorang-sorang naik dengan depan takde orang aku tengok belakang pun takde orang, rupenya dia ikut aku perlahan-lahan dari jauh. Maklumlah pada masa ini aku orang yang terakhir dalam group yang naik selow-melow.

Aku sempatla juga bertanya pada dia, kalau dah sampai 5Km ni," encik akan tinggalkan saya ke?" Sebab dia pun sedang membawa beg-beg pendaki lain dalam group aku. Kalau dia lambat, kesian la bagi mereka yang sampai dulu tapi beg tak sampai-sampai sebab aku..hahaha. Dia cakap dia takkan tinggalkan aku namun aku dengan yakinnya menyuruh dia naik dahulu sebab aku memikirkan beg-beg pendaki lain la. Beg aku sudah pasti dah sampai dulu tapi tuannya masih di bawah lagi. Hahaha.

 


Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

 

Sebab pada masa ini aku nak ikut satu kumpulan adik-beradik ni. Kira sama pace dengan aku dan kebetulan ada dua (2) orang ahli group aku juga semacam aku. Kira lebih dari lima (5) orang termasuk aku. Masa ni aku dah bersemangat sebab aku dah ada kawan untuk berbual-bual. Itulah aku ni, janji ada orang lain aku berborak, kompem cepat je aku naik dan tak down. Aku sebenarnya geram juga dengan malim gunung tu sebab takmo berborak dengan aku. Kalaulah aku tahu dia ikut dari belakang aku, mesti aku ajak dia berborak-borak dengan aku.

Akhirnya aku sampai di Panabalan jam 5.45 petang. Arghh lama gila tapi takpe, yang penting aku dah sampai dulu. Ada la satu cerita kelakar masa kami nampak bangunan hijau terang. Adik dalam group tu cakap, kalau dah nampak rumah hijau ni belum sampai lagi. Masih jauh lagi. Jadinya, kami semua mengiyakan. Siap rehat lama-lama kat sini sampai ambil gambar itu ini di bangunan berwarna hijau terang ni. Sekali tengok, laa... Tak sampai 100m rupanya! Rasa nak cekik je budak tu. Bertuah betul. Hahaha...

Sampai di asrama, aku siap mandi tau. Ada di kalangan mereka yang tak mandi, sejuk katanya. Sejuk tu memang sejuk sebab aku pun dah basah kuyup, rasa sangat-sangat tak selesa. Lebih baik aku mandi. Tapi air memang sejuk beku tapi aku kena smart thinking time tu, aku pi tadah air panas dan aku mandi dan solat jamak time tu. Selepas tu barulah aku turun untuk pi makan. Masa tu aku masih takde selera nak makan tapi aku makan juga nanti collapsed siapa nak tanggung kan? Masa makan tu aku dah mula berfikir yang kasut aku dah basah lencun, nanti pagi nanti nak naik macam mana? Mesti lagi sejuk kan? Mereka yang sampai terdahulu dah sesiap keringkan kasut dengan bayaran RM25/sepasang. Masa aku tiba, mereka dah tak terima lagi tapi mungkin rezeki aku, aku dapat juga keringkan kasut.

Masa aku cuba tidur, aku rasa katil dan bantal aku berais. Sejuknya tuhan sahaja yang tahu. Si Zahan siap offerred aluminium foil dia untuk balut kaki masing-masing. Kami koyakkan sedikit janji muat nak balut kaki kami seramai empat (4) orang ni. Katil pula kami rapatkan dan tidur dalam keadaan berhimpit-himpit. Hahahaha, masih sejuk dan aku memang tak boleh tidur. Sebenarnya dah tiga (3) malam aku tak dapat nak tidur.

Jam 1 pagi aku bangun dan ada yang sudah bangun seawal 12.30 malam untuk melakukan persiapan. Aduh, aku baru nak lena tidur sebenarnya. Tapi keadaan dah bising dan terang, aku bangun juga la. Bersiap apa patut.

 

Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

 

Masa nak makan pagi tu, aku masih takde selera makan lagi. Badan aku macam dah bagi signal yang aku rasa sangat-sangat tak sedap badan. Semasa menaiki anak tangga untuk menuju je Sayap-sayap, aku tarik diri sebab aku betul-betul rasa tak larat sangat dan pernafasan aku menjadi sangat-sangat berat. Macam kena serangan semasa aku kena Covid-19 dulu. Dengan rasa berat hati dan kecewa, aku melaporkan kepada ketua malim gunung bahawa aku terpaksa tarik diri. Sebab aku masa fikir, kalau aku teruskan juga, kalau anything happen to me, arggh kacau. Tapi my concern lebih kepada 'jangan menyusahkan orang dan keselamatan diri lebih penting'.  Itupun kalau aku bernafas dengan baik. 

 

Aku balik ke asrama Mokodou dan menangis sambil selubung. Sedih gila masa ni. Tapi lebih kepada rasa kecewa yang amat-amat. Pagi tu aku ke Laban Rata Restaurant untuk sarapan. Adalah juga a few yang tak naik sama macam aku. Chill-chill aje aku kat sana sambil mengubat duka dan berjanji untuk turun bersama-sama. Jam 8.30 pagi, kami berlima turun sambil menikmati alam dengan lebih bertenang. Perjalanan turun kami juga diikuti oleh seorang malim gunung. (depa wajib ada untuk setiap group). Masa ni aku dah tak tahu dah malim gunung ni dari group mana. Yang penting kami semua selamat walaupun tak sampai ke puncak.

 

Pendakian Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

 

Pengalaman Mendaki Gunung Kinbalu, Akinabalu


Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

 

Walaupun perjalanan aku hanya sampai di Panabalan sahaja, In Sha Allah kalau ada rezeki aku akan datang lagi! Kepada mereka yang sampai puncak, aku ucapkan sekalung tahniah! Namun begitu, tahniah jugalah kepada yang tak sampai puncak macam aku ni, sebab pengalaman itu bukan pada puncaknya tetapi pada perjalanannya.

 

 

Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu, Akinabalu

 

xo

  • Share:

You Might Also Like

0 comments