Segala puji bagi Allah yang memiliki segala perbendaharaan langit dan bumi, serta bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Hye korang,
Baru-baru ini aku berkesempatan menghadiri sebagai krew ke Majlis Penanaman Pokok Kayu Bakau bersempena World Mangrove Day 2025 yang telah dianjurkan oleh Mah Meri Culture Village. Seramai lebih kurang 400 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu dari pihak Aquaria, UPM, Osterd, Segi College dan juga SM Pin Hwa telah menghadiri dan terlibat dalam penganjuran ini.
Program konservasi pokok kayu bakau ini juga turut disertai oleh DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, dengan menyempurnakan penanaman pokok kayu bakau sebagai simbolik sambutan Hari Hutan Paya Bakau Sedunia 2025 di Pulau Carey pada 26 Julai 2025.
Untuk pengetahuan umum, setiap 26 Julai telah diiktirafkan sebagai Hari Hutan Paya Bakau Sedunia sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan paya bakau sebagai ekosistem yang penting dan untuk menggalakkan usaha pemuliharaannya. Hutan paya bakau ini sebenarnya berfungsi sebagai benteng semula jadi, habitat untuk pelbagai hidupan marin, dan membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dengan menyerap karbon dioksida.
Sebanyak 600 pokok bakau spesies Rhizophora sp dan enam pokok nyireh (Xylocarpus sp) telah ditanam sekitar di tepi pantai Pulau Carey dengan spesis bakau yang bersesuaian dengan kawasan habitat.
Setelah selesai program konservasi pokok kayu bakau ini, kesemua peserta diraikan dengan persembahan kebudayaan komuniti Mah Meri, iaitu salah satu suku kaum Orang Asli di Selangor yang kekal gigih mempertahankan warisan adat dan budaya nenek moyang mereka.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat di dalam penganjuran yang sungguh bermakna ini. Diharapkan dengan komitmen para peserta ini dapat memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar kita dalam memulihara biodiversiti yang terdapat di dalam negara kita ini.
Xo,
0 comments